29 September 2009 jam 2 pagi saya mula melangkah masuk ke dewan bersalin. Tapi sakit menguasai diri. Nurse pun menolak dengan wheel chair. Saya ditempatkan di sebuah bilik yang agak sejuk sangat kondisinya waktu itu. Kemudian saya dimasukkan sebotol air dan dalam masa yang sama ubat untuk memecahkan air ketuban juga dimasukkan.
Mulai dari ketika ini, perjuangan saya bermula. Betapa sakitnya seluruh tubuh hanya Tuhan saja yang tahu. Orang kata, sakit bersalin ni umpama berada di hujung pedang. Apa yang saya tahu hanya memanggil nama Tuhan, nama suami dan emak. Air mata sudah tidak terhitung lagi. Ucapan zikir mungkin berbakul-bakul pada saat ini. Saat kelahiran Rayyan Adam semakin tiba. Dalam masa yang sama bibir saya asyik memanggil nurse meminta tolong. Mujur ada juga yang kasihan. Seorang nurse pelatih memujuk sambil menggosok pinggang saya. Dan seorang lagi nurse senior juga memujuk. Saya sungguh terharu dengan pertolongan mereka. Saya rasa mcm nak balas jasa baik mereka. Tapi saya tidak mengenali kerana mereka berdua memakai face mask.
Jalan sudah semakin besar. Ramai yang mula mengelilingi saya. Doktor dan nurse suruh saya meneran. Tapi entah apa yang saya terankan. Rayyan Adam masih juga tidak mahu keluar. Waktu ini juga salah seorang nurse mula memarahi saya. Menengking, mengherdik kerana saya tidak meneran dengan sempurna. Saya hanya mampu tersenyum dan memaafkannya kerana saya mahu anak ini selamat. Saya redha dengan herdikannya kerana saya tahu dia juga mahu membantu menyelamatkan Rayyan Adam. Walaupun sebenarnya saya sangat sedih dengan kata-kata nurse tersebut.
Setelah saya meneran untuk beberapa kali, kaki saya mula digantung dan diikat. Doktor juga memainkan peranan dengan menggunting sedikit bagi membuka ruang untuk Rayyan Adam keluar. Saya sudah tidak peduli dengan apa yang berlaku. Tanpa saya sedari juga, ada 2 org nurse membantu menolak dgn kuat perut saya kiri dan kanan. Dalam masa yang sama saya meneran dgn sepenuh hati kerana jantung Rayyan Adam semakin lemah....
Akhirnya tepat jam 3.35 pagi, 29 September 2009, 10 Syawal 1430H Rayyan Adam selamat dilahirkan di dewan bersalin Hospital Besar Melaka dengan berat 2.8 kg
Lebih kurang pukul 5 pagi, suami saya dipanggil dan saat ini adalah saat yang mengembirakan bagi kami berdua. Suami melihat wajah anaknya lantas mengucup dahi saya sebagai tanda terima kasih. Semoga Rayyan Adam memberi sinar kepada hidup kami berdua dan bakal 'adik-adiknya' kelak hingga akhir hayat kami. Amin....
No comments:
Post a Comment